The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Rumusan Piala Presiden 2025

Oct 22, 2025 - FAS

Skuad bawah 20 tahun Selangor FC menutup tirai Piala Presiden 2025 di kedudukan tempat kedua dengan 47 mata terkumpul daripada 20 perlawanan; 14 kemenangan, lima seri dan satu kalah.

Dua tahun berturut-turut di kedudukan tempat kedua, Ketua Jurulatih skuad bawah 20 tahun Selangor FC, Firdaus Tan Aziz, berharap dengan momentum ini akan membantu pasukan mencapai pencapaian yang lebih tinggi untuk musim akan datang, “Perjalanan sebuah pasukan yang bermula daripada bawah semestinya tidak mudah, tetapi kita berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua untuk musim ini. Saya harap kita dapat bawa semangat ini untuk dapatkan kemenangan pada 2026.”

Sepanjang saingan Piala Presiden 2025 berlangsung, lima pemain terbanyak beraksi di bawah kendalian Firdaus Tan Aziz adalah kapten pasukan, Ariz Zuhayr, berjaya meraih minit bermain paling tinggi dengan 1,710 minit. Diikuti, Mulia Hairi dengan 1,692 minit, Ahmad Danial dengan 1,542 minit, Izzat Syahir 1,427 minit dan Airel Husainy 1,413 minit.

Dalam 20 aksi musim ini, skuad muda Gergasi Merah berjaya menjaringkan 38 gol dengan purata 1.9 gol dalam satu perlawanan. 16 daripada gol-gol tersebut dijaringkan oleh Izzat Syahir, yang juga merupakan penjaring kedua terbanyak Piala Presiden 2025. Diikuti, Hakim Hassan dengan empat gol. Dainei Md Disa menjaring tiga gol. Mulia Hairi, Hafifi Muhtadee dan Nabil Fitri menyumbang dua gol. Begitu juga, Abrisham Fazdir, Zamil Zaqwan, Rusyaidi Fahmi, Zainurhakimi Zain, Adam Mikaeel, Adam Fitri, Ahmad Danial, Ariz Zuhayr, Syahir Sukri dan Zamirul Hakim dengan satu gol. 

Rekod penjaga gol dan barisan pertahanan juga tidak kurang hebatnya. Mengikut carta kedudukan terakhir Piala Presiden 2025, Selangor FC memegang rekod bolos paling rendah bersama Terengganu FC, dengan hanya sembilan gol. Selain itu, pasukan juga tidak pernah bolos lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan. Daripada rekod tersebut, pejuang kubu pertahanan Gergasi Merah berjaya mencatat 11 perlawanan tanpa bolos daripada 20 perlawanan yang dimainkan. 

Secara keseluruhan, pasukan hanya merekodkan satu kekalahan iaitu semasa perlawanan pembukaan, kemudian para pemain bangkit dengan mencatat 19 perlawanan tanpa kalah sehingga tamat saingan Piala Presiden 2025. Selain itu, Kemenangan terbesar skuad bawah 20 tahun Merah Kuning adalah dalam perlawanan terakhir musim ini menentang Melaka FA, dengan keputusan 5-0.

Pihak Pengurusan Selangor FC melihat banyak peningkatan yang dicapai oleh skuad Piala Presiden musim ini daripada rekod-rekod di atas. Tahniah dan terima kasih kepada para pemain, jurulatih dan pegawai untuk musim ini. Semoga dapat terus progres dalam karier bola sepak dan banggakan kelab Gergasi Merah. 

Demi Kebanggaan!